Selasa, 26 Oktober 2010

ETP : Ekonomi Tempah Penyakit

Economy Transformation Programme (ETP) bertujuan mewujudkan satu perubahan drastik ekonomi dalam negara kita. Tujuannya agar ekonomi kita dapat berdaya saing dengan jiran - jiran kita seperti Singapura dan Indonesia.

Tapi apakah program ekonomi tersebut benar - benar berjaya? Apakah program tersebut akan membawa ekonomi kita dengan lebih dinamik sihat?

Lihat kenyataan ini :
"Ini akan dilaksanakan dengan penubuhan beberapa kelab malam terkemuka, menganjurkan konsert utama, melonggarkan garis panduan untuk penghibur antarabangsa dan “mempakejkan” semula acara antarabangsa seperti Formula 1 dan MotoGP"
Sumber : Malaysiakini

Saya seorang Muslim. Memang dalam agama Islam melarang sama sekali mewujudkan kelab - kelab malam kerana khuatiri akhlak anak muda Islam akan hancur dan rosak sama sekali. Apakah agama lain juga tidak sedemikian? Biarlah rakan - rakan dari agama lain yang menjawapnya.

Najib akan menyebabkan Malaysia menjadi sebuah negara yang mementingkan hiburan semata. Kuala Lumpur, Langkawi dan banyak tempat lain lagi akan dijadikan kawasan ekstrem hiburan. Ya, bagi setengah orang pasti ianya akan menyokong. Tapi jika kita sering kecoh mengenai kes buang bayi, moral pelajar sekolah rendah dan bermacam - macam lagi, inilah punca segalanya. Hiburan melampau mengundang rosaknya akhlak remaja.

Tanya pada diri kita khasnya ibubapa, mahukah anda melihat anak - anak kita terlibat dengan gejala tidak sihat ini? Bohong kalau Najib kata orang Islam tidak boleh masuk disko. Bohong Najib kata kita akan buat penguatkuasaan ketat. Bohong. Semuanya bohong. Lihat Genting. Berapa ramai orang Islam telah masuk ke dalam kasino tersebut.

Anak - anak kita harus diselamatkan. Ekonomi yang Najib perkenalkan makin karut. Dari bangunan 100 tingkat hinggalah budaya hiburan yang melampau. Tiada satu pun membantu menjana pendapatan rakyat di kampung. Tiada satu pun membantu masyarakat miskin di kampung - kampung. Sebaliknya Najib hanya membangunkan ekonomi yang kita sendiri tidak tahu mana hala-tujunya.

Undi Barisan Nasional membawa keruntuhan negara. Kita sedang mengalami kehancuran. Tindakan tergesa - gesa mewujudkan kelab malam sudah pasti membawa masalah dadah. Jangan nafikan. Ini hakikat. Mewujudkan kelab malam akan mewujudkan kes - kes pelacuran. Ini adalah hakikat.

Sekarang buat semua rakyat Malaysia tak kira Muslim, Hindu, Buddha, Kristian dan lain - lain. Buatlah penilaian yang baik. Sama ada kita masih mahu menyokong BN atau tidak.

Sabtu, 23 Oktober 2010

Jangan Mimpi Pakatan Tawan Putrajaya

PRU-13 bakal diisytiharkan dalam masa terdekat ini. Ada yang yang menjangkakan tahun depan dan ada yang menjangkakan 2012. Semuanya telah bersiap-sedia dengan jentera pilihanraya masing - masing baik BN mahupun Pakatan Rakyat. Niat mereka hanya satu, mempertahankan kuasa dan mengambil-alih kekuasaan yang sedia ada.

Namun sedarkah kita terutamanya rakyat, jika ditakdirkan kita semua sebulat suara menyatakan sokongan kepada Pakatan Rakyat dan impian melihat Putrajaya ditawan oleh kita menjadi kenyataan, apakah ianya benar - benar menjadi kenyataan? Apakah ianya akan diizinkan oleh Rosmah dan Najib Tun Razak?

Mari kita melihat kenyataan Najib mengenai kuasa yang bakal mereka pertahankan :
"Walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa. Saudara dan saudari, walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan!" kata Najib Razak ketika merasmikan perhimpunan agung Umno di PWTC pagi ini." Sumber : Malaysiakini

Ini semua signal jelas bahawa walau Pakatan Rakyat yang buat sementara waktu ini menjadi harapan untuk membela rakyat menang besar sekali pun, Umno dengan konco - konconya akan tetap mempertahankan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya. Mereka sesekali tidak membenarkan kita yakni rakyat merampas kuasa yang ada pada mereka. Biarlah satu semenanjung jatuh ke tangan Pakatan, biarlah Sarawak jatuh ke tangan Pakatan dan biarlah Sabah jatuh ke tangan Pakatan tapi untuk membiarkan Putrajaya jatuh ke tangan Pakatan Rakyat tidak mereka sesekali membenarkannya.

Najib sudah pun memberi amaran awal kepada Pakatan Rakyat dan rakyat. Umno dan konco - konconya akan sanggup berbuat apa sahaja untuk memastikan kuasa yang mereka ada itu tidak jatuh ke tangna rakyat. Apakah kita rakyat sedar akan kenyataan ganas Najib itu? Apakah kita rakyat sudah bersiap - sedia dengan tindakan ganas Najib itu?

Berani saya katakan, Pakatan Rakyat jika mengikut logik akal hanya dapat memerintah selama 3 hari sahaja. Kenapa 3 hari? Najib akan mengarahkan seluruh samseng - samseng yang berada di dalam parti tersebut dan NGO yang mengaku MELAYU membuat huru - hara sekitar bandaraya Kuala Lumpur. Hatta bilangan mereka 100 orang sudah cukup untuk mengizinkan darurat diisytiharkan. Sememangnya bunga - bunga darurat yang bakal mereka lancarkan memang akan terjadi.

Persoalan yang ada kepada saya dan mungkin orang lain. Apakah pilihanraya dapat mengubah kerajaan yang serba bodoh ini. Apakah pilihanraya benar - benar dapat memberikan keriangan kepada rakyat? Apakah pilihanraya benar - benar dapat memberikan hak rakyat untuk menukar kerajaan yang sedia ada?

Bak kata Hishamuddin Rais aka TukarTiub : "Jika pilihanraya dapat mengubah sesuatu sudah pasti pilihanraya itu diharamkan." Logiknya ada. Suara Keadilan diharamkan. Harakah diharamkan dijual di tempat awam. Majalah Wasilah diharamkan. Semuanya diharamkan kerana telah membentuk kesedaran rakyat. Telah menyedarkan rakyat betapa kejinya kerajaan yang ada pada hari ini.

Nah, sekarang media baru (blog, facebook, media alternatif) mula diberi tekanan. SKMM telah mula melancarkan serangan kepada Malaysiakini.Apa sahaja yang dapat menganggu kuasa mereka semuanya akan diserang, diharamkan, ditangkap hatta dibunuh. Kita tidak punya pilihan. Jika media - media diharamkan apatah lagi pilihanraya. Sudah pasti pilihanraya ini akan diharamkan. Apa tanggungjawap kita? Diam? Memerhatikan saja?

Hanya satu sahaja untuk melawan aksi kejam Umno ini. Hanya satu saja untuk menyatakan secara tegas buat Umno dan PERKASA yang bakal membuat onar suatu hari kelak. Jika pilihanraya diharamkan, kita pilih PILIHANJALANRAYA!!

Selasa, 19 Oktober 2010

100 Tingkat Beza Dengan 100 Keluarga

Najib dengan angkuh mengatakan kerajaan akan membina Menara Warisan yang bernilai RM 5 Billion. Menara yang kononnya akan menjadi kembar kepada KLCC. Menara yang dikatakan akan menjadi tarikan pelancong.

Tapi pernahkah Najib memikirkan nasib keluarga - keluarga miskin yang berada di negeri - negeri yang bernaung di bawah bendera Malaysia ini. Pernahkah Najib melawat negeri - negeri yang masih punyai kemiskinan tegar di negara ini. Najib tidak pernah merasai kesusahan orang kampung terpaksa menoreh getah dan membuat bermacam - macam kerja untuk menyara anak bini mereka.

5 Billion jika digunakan secara telus dan jujur, sudah pasti ramai keluarga - keluarga yang susah dapat manfaat tersebut. Lihatlah, berapa banyak lagi kawasan kampung yang masih punyai jalan merah. Lihatlah, berapa banyak lagi kawasan kampung tidak punyai signal syarikat telekomunikasi seperti Maxis dan lain - lain. Jangan nafikan. Ini adalah fakta yang boleh kita perolehi jika kita rajin merantau di negeri - negeri yang berada dalam Malaysia ini. Saya orang Semenanjung boleh melihat kemiskinan tegar tersebut. Bagaimana pula dengan mereka yang berada di Sabah dan Sarawak.

Apa salahnya 5 Billion itu disalurkan kepada makanan ruji. Kebanyakkan rakyat Malaysia bekerja sebagai pekerja sektor swasta. Masih ramai diantara mereka jika adanya kenaikan harga gaji, sudah pasti teramat sedikit. Sedangkan harga barang semakin naik menggila. Harga makanan semakin naik. Poket kami semakin kering. Jika benar Belanjawan ini untuk rakyat, salurkan 5 Billion itu kepada makanan ruji. Ini bukan mental subsidi, tapi sebuah kerajaan yang baik adalah sebuah kerajaan yang memikirkan masalah rakyat. Subsidi jika kena pada tempatnya mampu melahirkan rakyat yang sihat dan tidak kebuluran. Bagi mereka yang sudah kaya - raya pasti akan menganggap subsidi makanan mentaliti yang kuno. Tapi cuba teropong ke bawah, lihatlah orang kampung yang masih ada lagi yang makan makanan yang tidak sihat. Kerana apa? Kerana makanan yang sihat tidak mampu mereka beli kerananya semua sudah mahal.

5 Billion jika disalurkan kepada kos perubatan sudah pasti ianya menyenangkan hati rakyat. Hanya ini mampu membuatkan mereka merasa selesa. Hanya ini mampu membuatkan mereka yakin bahawa kerajaan ini sememangnya mahu melihat rakyatnya sihat. Perbanyakan klinik kesihatan desa. Hanya ini cara mereka mendapat rawatan yang kualiti. Tingkat servis atau perkhidmatan di klinik - klinik desa agar mereka yang sedang sakit demam atau sebagainya tidak menunggu lama. Ini sepatutnya dilakukan oleh kerajaan.

5 Billion jika disalurkan kepada bangunan 100 tingkat hanyalah pembaziran nyata. Jika dibuat pada ketika ekonomi kita sedang gagah dan kuat tidak mengapa. Dalam waktu sekarang, disaat masih ramai lagi yang menagih bantuan kepada 5 Billion itu tidak disalurkan kepada mereka. Kita orang bandar jangan angkuh. Sila lihat apa yang terjadi kepada saudara - mara kita yang berada di kampung. Baik yang Melayu, Cina, India, Iban dan lain - lain.

5 Billion jika disalurkan kepada 100 orang keluarga yang susah. Sudah pasti nilainya lebih bermakna daripada bangunan 100 tingkat. Bangunan yang boleh dibina kemudian hari. Yang penting adalah rakyat. Rakyat yang menjadi aset penting kepada negara. Tanpa rakyat hilanglah Malaysia. Tanpa rakyat siapalah Rosmah?

Malu jika sebuah kerajaan negeri mampu memberi pelbagai bantuan. Kerajaan pusat sepatutnya mampu buat lebih daripada itu.

Buat rakyat Malaysia yang punya otak dan akal. Berfikirlah dengan baik. Kita sebagai rakyat Malaysia semakin terdesak. Kita semakin kurang duitnya dalam poket kita. Apa yang perlu kita buat. Ubah sebelum parah!!

Sabtu, 16 Oktober 2010

Belanjawan Rosmah 2011

Semalam Belanjawan Negara telah dibentangkan oleh Najib Tun Razak. Kita sebagai rakyat menantikan apakah yang lebih baik untuk kita. Kita rakyat Malaysia yang semakin tertekan dengan harga barang yang semakin naik. Dengan kenaikan harga minyak maka semuanya pasti naik. Golongan yang paling terkesan adalah rakyat yang berpendapatan rendah.

Majoriti rakyat Malaysia yang tidak berniaga mengharapkan ada sesuatu yang dapat meringankan beban mereka. Mereka masih mengharapkan agar kerajaan yang memerintah dapat menurunkan harga barangan runcit dengan memperuntukkan sebahagian berbillion ringgit itu kepada sudut itu. Kita tidak mahu mendengar projek berbillion ringgit bangunan pencakar langit. Kita hanya mahukan ekonomi yang bersifat kemanusiaan.

Saya bukan pakar ekonomi. Tapi apa yang penting bagi saya sebagai rakyat Malaysia mahukan kualiti kehidupan yang lebih bermakna. Dari sudut kesihatan, pendidikan, dan poket kami yang semakin kering ini. Pergilah tanya pada mereka yang benar - benar bebas dari pengaruh politik. Semuanya kecewa dengan bentangan belanjawan kali ini. Saya bukan berbual kosong tapi inilah hakikatnya. Rata - ratanya mempersoalkan apa yang diperuntukkan kepada rakyat. Mereka mempersoalkan rasional kerajaan memperuntukkan ratusan juta yang entah kemana hasilnya.

Sebagai contoh apabila kerajaan menghapuskan cukai pembelian telefon bimbit sebanyak 10%, janganlah kita seronok dengan penghapusan cukai tersebut. Apakah kita akan membeli telefon setiap hari? Jangan ada yang kata bagus sebab orang kampung boleh pakai blackberry Torch dan IPhone. Semua itu tidak pernah menjadi keutamaan kepada mereka. Jangan samakan kampung di Kuala Lumpur dengan kampung di Kuala Nerang. Jangan samakan kampung tersusun dengan kampung yang berselerakan. Mereka ini tidak sama. Mereka perlukan keperluan asas yang lebih banyak contohnya harga beras yang lebih rendah, gula, tepung, ayam atau daging dan sayur - sayuran. Ini yang mereka perlukan. Ada kerajaan BN memberi peruntukan sedemikian rupa?

Tapi antara perkara yang paling menyakitkan hati kita sebagai rakyat apabila berjuta - juta duit kita rakyat yang sepatutnya diberikan kepada saluran yang betul mengenai pendidikan disalurkan kepada satu badan yang tidak ada kena mengena dengan kerajaan. Sebanyak RM111 Juta telah diberikan kepada PERMATA. PERMATA merupakan kepunyaan Rosmah. Apa pentingnya Rosmah kepada kita? Apa pentingnya Rosmah kepada negara? Siapa Rosmah? Kenapa dia dapat keistimewaan yang melampau? Peruntukan itu meliputi projek pembinaan fasa II Kompleks Sekolah Permata Pintar, bagi membina 32 Pusat Anak Permata Negara (PAPN) serta membiayai operasi 52 PAPN yang telah siap.Peruntukan itu turut meliputi program Permata yang lain seperti PERTAMA Pintar, Seni, Insan dan Remaja. Kenapa tidak disalurkan kepada Kementerian yang bertanggungjawap?

Sakit hati rakyat tidak pernah diambil kira. Kita mahu harga barang turun. Kita mahu harga makanan ruji turun. Tapi yang turun? Beg tangan, kasut, sut, baju kanak-kanak, dompet, pewarna rambut,pakaian malam, seluar dan seluar dalam serta wangi-wangian, termasuklah kelambu. Apakah ini yang kita mahu? Apakah ini yang orang kampung mahukan? Apakah ini yang mampu menaikkan taraf ekonomi negara. Apakah keperluan ini hari - hari kita beli?

Belanjawan kali ini hanya untuk golongan tertentu. Soalan kepada Najib? Apa peruntukan kepada golongan petani dan nelayan? Apakah sumbangan kepada golongan pekerja swasta? Tiada satu pun peruntukan diberikan kepada mereka. Mungkin ada yang kata ekonomi apa yang kita mahukan. Idealistik atau realistik. Ya kita mahu yang realistik. Realistik agar rakyat dapat tersenyum lebar dengan penurunan harga barang. Realistik rakyat senyum apabila harga ubat atau yang berkaitan dengan kesihatan diturunkan.

Itulah yang realistiknya selain daripada menyuntik wang untuk memacu ekonomi negara. Sudah berapa lama kita merdeka. Sudah berapa banyak bangunan tinggi yang kita ada. Sudah berapa banyak gedung - gedung membeli - belah kita ada. Sudah berapa banyak sekolah bestari yang kita ada. Tapi jujur dengan diri kita, apakah pencapaian kita? Malu kita jika dibandingkan dengan Cuba. Cuba sebuah negara yang tidak punya bangunan pencakar langit. Namun dari sudut pendidikan cuba meninggalkan kita jauh. Kita yang hebat dalam bangunan hanya dapat 88.9% peningkatan dalam pendidikan jauh tertinggal di belakang Cuba yang mendapat 99.8%. Ini yang kita mahu. Ini yang rakyat idamkan. Itu belum bicara soal kesihatan dimana dari semua sudut Cuba jauh meninggalkan kita. Ya, sebuah negara yang mundur bangunan tapi rakyat senyum dan sihat.

Ramai ahli politik kata ini Belanjawan PRU. Saya katakan ini Belanjawan Rosmah atau Belanjawan Hari Kiamat BN. Kenapa? Belanjawan yang tidak menguntungkan rakyat. Belanjawan yang hanya bermanfaat buat golongan tertentu. Tak semua orang menjadi Ketua Kampung, tak semua menjadi Tok Batin, tak semua orang jadi Guru KAFA. Majoritinya orang kampung. Kasihan orang biasa macam kita. Tepuk dada tanya selera. Apakah ini yang kita mahukan?

Rabu, 13 Oktober 2010

Terima Kasih Musang Dalam PKR

Aku mengucapkan terima kasih kepada musang - musang jahat yang berada dalam PKR. Mereka yang terdiri daripada irang - orang tertentu yang menyokong kononnya dia mempunyai sumbangan besar dalam perjuangan. Mereka sanggup menipu dan meniupkan api perpecahan dalam parti yang telah mula menjadi harapan rakyat.

Dengan pembinaan blog ANTI orang tertentu dan menyerang individu tertentu. Blog ANTI individu tertentu walaupun tidak mempunyai hubungan dengan TOKOH yang dikatakan hebat dalam berjuang namun saya yakin blog itu dibina oleh penyokong - penyokong TOKOH "hebat" itu.

Dengan melemparkan amaran kepada calon - calon Timbalan Presiden sebagai contoh hilang kerusi MB dan sebagainya merupakan tindakan jijik dan paling keji dalam sejarah politik pembangkang Malaysia. Serangan - serangan seperti ini membuatkan saya terfikir, tokoh yang dikatakan "hebat" sangat itu mulia atau tidak? Apakah dia mahu kuasa sahaja. Adakah dia mahu melihat parti yang mula mendapat sokongan rakyat musnah begitu sahaja?

Ada suara dalam parti tersebut mengatakan dia sememangnya mahukan kerusi tertinggi dalam KERAJAAN negeri Selangor. Kerusi apa? Silalah cari sendiri.

Buat mereka yang terbabit dalam projek memusnahkan parti TERIMA KASIH. Anda MUSANG JAHAT!

Rabu, 6 Oktober 2010

Tahun Depan Lebih Ganas

Hari ini Rahimi Osman mengaku dia diliwat. Sekali lagi isu liwat dimainkan. Rahimi Osman bekas pembantu Anwar.

Rahimi Osman memang tidak pernah dipercayai dari dahulu lagi. Masakan orang kuat Anwar Ibrahim Club pernah menyerang dia di dalam blognya sendiri.

Kenapa Rahimi Osman tampil untuk tuduhan liwat kali ke-3. Ini kerana tuduhan Saiful terhadap Anwar tidak cukup kuat. Rakyat tidak percaya walaupun ada segelintirnya percaya. Maka Rahimi tampil sekali untuk menyedapkan cerita lagi.

Percayalah Anwar harus masuk penjara. Melalui cara ini, maka Pakatan Rakyat akan musnah. Jangan siapa nafikan. Tahun depan akan wujud lagi pertuduhan tak masuk akal terhadap pimpinan Pakatan Rakyat.

Tahun depan merupakan sweeping pemimpin Pakatan Rakyat. Semua ini kerana mahu menjamin kemenangan Barisan Nasional. Tahun depan jugalah Najib akan bertindak lebih kejam dan ganas.

Buat rakyat Malaysia, bersiap - sedia dengan tindakan ganas Najib. Siap sedia dengan berita - berita penahanan dan pertuduhan yang tak masuk akal terhadap pemimpin Pakatan Rakyat. Orang - orang penting dalam Pakatan akan dihumbankan dalam penjara. Tujuannya agar Pakatan Rakyat lemah dan musnah.

Buat rakyat Malaysia, apa tindakan kita untuk menghadapi cabaran ini? Bak kata Hishamuddin Rais "Kalau pilihanraya ini dapat menumbangkan BN, sudah lama pilihanraya akan diharamkan!"

Jumaat, 1 Oktober 2010

Umno Berkuasa Melayu Hilang Kuasa

Ketika waktu sebelum adanya internet orang Melayu begitu bergantung harap pada Umno. Bagi orang Melayu ketika itu, tiada Umno maka habislah masa hadapan orang Melayu. Kuasa dan hak - hak istimewa bumiputera (khas untuk Melayu sahaja, orang - orang asal atau asli wayang saja) akan hilang. PAS waktu itu dianggap sampah oleh orang Melayu ketika itu.

Tapi lama - kelamaan, payung yang diharap membantu orang Melayu mula menunjukkan sikap buruk mereka. Payung yang diharap dapat membantu orang Melayu mula menampakkan kebocorannya. Harta dan maruah orang Melayu semakin dicalar oleh mereka. Orang Melayu yang merempat susah di tepi bandar selama 50 tahun, nasib mereka masih tidak diubah - ubah. Rumah mereka di sesetengah kawasan, lantai masih tanah merah. Bumbung rumah mereka masih beratap rumbai yang sering kali bocor ketika hujan kerana sudah tidak punya kudrat untuk membaikinya.

Apabila orang Melayu yang puluhan tahun meneroka sesuatu kawasan, apabila atas nama pembangunan maka mereka telah dihalau bagaikan sampah. Rumah - rumah mereka dirikan selama puluhan tahun telah dirobohkan (jangan lupa Kampung Berembang) tanpa ada apa - apa ganti rugi. Jika ada sekali pun, hanyalah rumah flat kos rendah yang sempit dan sesak. Orang Melayu taraf mereka hanyalah begitu di mata orang Umno. Umno seringkali menganggap orang Melayu bodoh. Cukup sekadar meniupkan Hak Melayu tercabar, maka orang Melayu kembali lembik dan tunduk sujud di kaki Najib dan Rosmah.

Itulah orang Melayu di mata Umno. Jarang sekali orang Umno benar - benar mahu membantu orang Melayu. Hanya perlukan sokongan orang Melayu jika pilihanraya sudah semakin hampir. Bodohkan dan candukan orang Melayu dengan slogan - slogan yang menipu Melayu. Hasilnya sehingga sekarang Umno masih memerintah. Tapi semuanya sudah berubah. Orang Melayu khasnya anak muda, yang telah celik IT telah mula menunjukkan sikap penentangan terhadap Umno. Mereka mula menentang apabila internet mula berada di dalam negara ini. Blog, youtube, twitter, dan bermacam lagi telah menjadi medan kepada mereka yang ingin bersuara tapi hak mereka itu dihalang. Pendebatan untuk menjadikan Malaysia lebih kedepan telah dihalang. Sikap untuk menentang terhadap kerajaan yang menganggap mereka PANDAI kesemuanya mula menunjukkan aksi yang ketara.

Orang Melayu mula mencelikkan mata apabila berita - berita mengenai penindasan orang Melayu di bandar dan juga di kampung telah tersebar dengan begitu pantas. Maklumat dihujung jari sahaja. Maka anak muda Melayu mula bangkit dan menunjukkan aksi penentangan demi penentangan. Hasilnya MAC 2008, Umno HILANG KUASA MAJORITI 2/3. Gegak gempita bumi Putrajaya. PWTC seperti mahu roboh. Tangisan oleh pemimpin Umno yang dahulunya cukup angkuh dengan rakyat khasnya Melayu teramat kuat. Umno mula terasa mereka telah mula hilang kuasa. Anak muda Melayu mula menunjukkan signal yang jelas kepada Umno bahawa masa mereka untuk pupus di muka bumi sudah tiba.

Tapi orang Umno sedar, jika tidak dari sekarang mereka memainkan isu perkauman maka impian anak muda Melayu melihat Umno pupus akan menjadi kenyataan. Maka sekali lagi isu perkauman ditiupkan. Mereka menghantar beberapa orang untuk meniupkan isu perkauman. Dari PERKASA hinggalah pegawai BTN. Tujuan mereka hanya satu, agar pihak dikeji dan dihina (sudah pastinya Cina dan India) akan bangkit dan membalas kembali dengan kata - kata nista yang serupa. Syukur kawan - kawan dari bangsa lain tidak ramai yang terjebak kecuali Namewee. Tindakan Namewee yang mencarut dalam lagunya untuk membalas kembali agen Umno telah menjadi lesen untuk kumpulan PERKASA bertindak dengan lebih ganas. Mereka berharap apabila PERKASA mengamuk maka anak muda Melayu juga turut serta. PERKASA termasuk Mahathir akan terus - menerus meniupkan angin kebodohan kepada orang Melayu. Umno akan tetap terus menghantar agen -agennya untuk meniupkan isu perkauman agar orang - orang seperti Namewee akan melompat sama.

Sekarang isu perkauman menjadi agenda utama oleh Umno. Mereka terus mengharapkan orang seperti Namewee akan lebih ramai. Apabila ramai, mitos yang mengatakan Umno Kalah orang MELAYU HILANG KUASA akan dianggap benar oleh anak muda Melayu. Tapi secara hakikatnya, Umno risau kuasa yang mereka ada akan pupus jika anak muda Melayu terus - menerus membantai mereka. Umno perlukan kuasa tersebut. Dengan kuasa yang ada, maka lebih senang mereka merompak wang rakyat berjuta - juta. Dengan kuasa yang ada, lebih senang tanah rezab orang Melayu dipindah-milikkan kepada cukong Cina MCA supaya nanti komisennya berjuta - juta masuk dalam poket.

Hakikatnya, apabila Umno berkuasa orang Melayu semakin merempat. Tanah rezab Melayu akan semakin berkurangan. Semuanya diberikan kepada cukong MCA. MCA dan Umno berkawan rapat. Jangan biarkan Umno berkuasa. Jika kita benarkan nescaya lagi banyaklah tanah rezab Melayu dikorbankan. Tanam dalam fikiran kita, Umno berkuasa maka hilanglah Melayu di bumi Malaysia ini. Tanah dirampas, rumah diroboh, kuasa ditarik. Jangan biarkan kita terus dibodohkan dengan Umno melalui agen Umno!!!

p/s Jangan terikut dengan rentak tari agen Umno seperti Namewee. Itu memberi lesen kepada PERKASA.