Memaparkan catatan dengan label Suara Rakyat Suara Keramat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Suara Rakyat Suara Keramat. Papar semua catatan

Khamis, 4 Ogos 2011

Lancarkan BERSIH 3.0!

Bagaimanapun, satu lagi semakan dengan sistem JPN pada jam 3 petang semalam menunjukkan Mismah telah menjadi warganegara dengan Mykad biru. Sumber : Malaysiakini

Dalam tempoh beberapa hari sahaja lagi, genap sebulan peristiwa 9 Julai 2011. Namun apa hasilnya? Satu nyawa sudah terkorban, ribuan tercedera dan ribuan lagi ditangkap. Hasilnya SPR tetap menjadi keldai tunggangan Umno dan Barisan Nasional. SPR tetap menjadi pak turut apa sahaja kehendak Najib Razak. Ini adalah hasilnya dan kita tidak boleh nafikan.

Apa tindakan selanjutnya? Dengan pendaftaran segera ratusan ribu warga PATI menjadi warganegara Malaysia merupakan titik - tolak betapa Malaysia dalam keadaan bahaya. Demi mempertahankan kuasa, Umno sanggup menggadaikan negara kita. Negara yang sudah kita bina 50 tahun lebih dan rakyatnya sudah mula mengenali antara satu sama lain telah digadaikan kepada warga PATI yang sudah pasti tidak kenal akan budaya hormat - menghormati kita bina selama ini. Kita warga Malaysia terus diam membisu.

Mahu tidak mahu BERSIH 3.0 harus dilaksanakan. Ini jawapannya. Buat anak muda jika tempoh hari tidak menyertai BERSIH harus faham kenapa ratusan ribu rakyat turun ke jalanraya. Mereka ini semua sayangkan negara Malaysia. Mereka tidak mahu warga PATI yang entah datang dari mana datang menjadi warganegara Malaysia dan membuat kacau - bilau budaya hormat - menghormati yang kita bina ini. BERSIH 3.0 harus dibuat dengan skala yang lebih besar. Beritahu kepada Najib dan SPR bahawa Malaysia akan diselamatkan dan diBERSIHkan dari warga PATI yang suatu hari nanti akan membuat kacau - bilau di negara kita.

Buat anak muda yang mengeluh dan mengeji BERSIH kerana mengganggu perjalanan mereka ke sana - sini. Jangan jadi manusia pentingkan diri - sendiri. Ya benar anda semua terperangkap dengan kesesakan lalu - lintas yang luar biasa. Semuanya kerana polis yang menjadi aparat Umno. Umno yang takut hilang kuasa. Anda semua pentingkan diri - sendiri walaupun negara kita sedang digadaikan kepada warga PATI yang tidak sampai beberapa tahun tinggal di dalam negara kita. Anda semua mengeluh kenapa ramai sangat warga PATI berkeliaran di dalam negara kita. Tapi anda juga tidak mahu memBERSIHkan negara kita dari wabak PATI. Anda lebih rela melihat negara tergadai daripada kesenangan diri anda tergadai.

Buar rakyat Malaysia, ayuh sekali lagi kita gegarkan Malaysia. BERSIH 3.0 harus dilancarkan!!!

Ahad, 10 Julai 2011

Dahulu Memali Sekarang Bersih

Aku bangga dapat menjadi sebahagian daripada sejarah Malaysia apabila turut serta dalam perhimpunan BERSIH 2.0 baru - baru ini. Bersama - sama dengan 50,000 rakyat di Dataran Maybank dan "bertempur" dengan polis - polis yang menjadi Keldai Umno di Jalan Pudu dan menyaksikan aksi kejam polis dan bodoh apabila menembak gas pemedih mata dan tembakan air kimia ke dalam Hospital Tung Shin.

Tahniah buat rakyat Malaysia tidak kira kaum dan agama. Kita tidak gentar dengan ugutan Perkatak, PakTurot (Patriot), Murahguru Omar Din, Pencacai Ismail Noh dan sebagainya. Kita terus keluar menuntut pilihanraya yang lebih adil dan saksama. Ratusan halangan di lalui. Kita tetap terus mara kehadapan. Bilik hotel digeledah, tetap tidak menghalang semangat aku dan rakan - rakan lain terus mara ke hadapan. Buat kawan - kawan aku yang turut serta, berbanggalah kerana menjadi sebahagian daripada sejarah Malaysia.

Tapi dalam kita menyambut kegembiraan ini, janganlah sesekali kita melupakan pemergian Pejuang Agung Allahyarham Baharudin yang menjadi mangsa kekejaman pihak polis. Allahyarham dikatakan sesak nafas angkara tindakan polis yang menembak tepat gas pemedih mata di depannya. Malah anak Allahyarham juga memaklumkan, ayahnya telah patah tulang rusuk dan kehilangan 3 batang gigi. Apakah Allahyarham telah dipukul ketika asap putih sedang berkepul naik?

Aku sedih. Sedih kerana kerana ingin mempertahankan kuasa politik Umno sanggup membunuh rakyatnya sendiri. Memali angkara ingin mempertahankan kuasa. Sekarang BERSIH, juga niat yang sama. Kenapa Umno sanggup menggadaikan nyawa rakyatnya? Kerana duit. Mereka ini dahagakan duit. Mereka ini kaki rasuah. Apabila kuasa yang mereka boleh terhakis maka mereka akan sanggup berbuat apa sahaja asalkan kuasa kembali ke tangan mereka hatta terpaksa membunuh.

Aku sedih. Sampai bila kita harus sabar melihat keangkuhan Umno dan Barisan Nasional dengan angkuhnya meragut nyawa rakyat. Kita hanya mampu melihat. Jangan sia - siakan pemergian Allahyarham Ustaz Ibrahim Libya dan Allahyarham Baharudin. Mereka berjuang habis - habisan hanya semata ingin melihat negara kita ini lebih berkat dan selamat. Apa gunanya pengorbanan mereka jika kita tidak menyahut harapannya.

Buat rakyat Malaysia, bangkitlah. Bangkitlah selagi nyawa masih ada. Bangkit membangunkan Malaysia yang lebih baik!

Isnin, 27 Jun 2011

BERSIHkan Malaysia : Buat Unit Amal

Masih bermain di fikiran aku ketika tahun 2007, 100,000 rakyat berarak menuju ke Istana Negara untuk menzahirkan perasaan kecewa kita kepada Yang Dipertuan Agong. Sejarah itu tidak dapat aku lupakan dan akan menjadi bahan cerita yang bakal diceritakan kepada generasi yang akan datang.

Namun disebalik kejayaan itu, setiap kali aku mengenang pengorbanan “tentera merah” yang tertera tulisan Unit Amal membuatkan aku sering sahaja sebak. Tidak pernah sepanjang hidup aku mendapat perlindungan yang cukup istimewa. Dari saat pertama hinggalah perhimpunan kita itu berakhir di Masjid Negara, Unit Amal tetap utuh membuat rantai manusia untuk memastikan keselamatan aku dan puluhan ribu yang lain selamat.

Sudah pasti mereka yang diserang secara ganas oleh FRU di Masjid Jamek tidak dapat melupakan peristiwa itu. Sudah pasti mereka yang berada di Masjid Jamek tidak akan melupakan pengorbanan Unit Amal yang menjadi benteng yang kuat kepada rakyat. Ketika FRU mara dan menghayunkan belantan kearah rakyat, merekalah yang menadah badan mereka untuk memastikan rakyat selamat. Dengan laungan “Allahuakhbar” semangat mereka tidak pernah luntur dan gentar. Mahu berundur tidak sama sekali.

Ketika aku sedang menulis, air mata aku sedang menitis. Bagi aku mereka inilah panglima – panglima rakyat yang sebenar. Ketika semangat rakyat sudah mula goyah sedikit apabila mula melihat FRU sudah mula mara, mereka inilah yang menaikkan kembali semangat rakyat. Dengan rantaian manusia yang kukuh, himpunan BERSIH yang dijangka dapat digagalkan ternyata gagal sama sekali. BERSIH 2007 berjaya.

Unit Amal, aku merayu dan menundukkan kepala. Aku merayu kepada seluruh Unit Amal yang berada merata Malaysia agar kembali dan membela aku dan ratusan ribu rakyat lain. Unit Amal, aku akan menjadi lebih bersemangat jika melihat kalian semua datang kembali dan membentuk rantaian manusia. BERSIH 2011 akan gagal sama sekali jika “tentera merah” Unit Amal tiada. Unit Amal akan menjadi nadi utama kepada perhimpunan kali ini. Unit Amal pembela rakyat dan rakyat pasti bersama mereka.

Unit Amal penting kepada kita semua. Tanpa mereka yang terus – menerus mengawal kita dan menahan pukulan aparat – aparat BN iaitu FRU sudah pasti kita akan bercerai – berai. Unit Amal bakal menjadi sejarah yang penting dalam perjuangan rakyat. Unit Amal bakal menjadi sebutan di bibir anak – anak muda Malaysia. Barisan utuh yang kuat juangnya.

Unit Amal, kami menunggu anda semua!!

Ahad, 26 Jun 2011

BERSIHkan Malaysia : Buat Anak Muda!

Tinggal 2 minggu sahaja lagi perhimpunan raksasa yang bakal dihadiri oleh ratusan ribu rakyat bakal berlangsung. 2007, kita berjaya mengumpulkan kira – kira 100,000 rakyat. Apakah tahun 2011 kita berjaya?

Ya, dengan izin Allah kita pasti berjaya. Anak – anak muda harus bangun dan bangkit menyuarakan perasaan marah kita dan benci kita kepada penipuan yang dilakukan oleh BN dan kuncu – kuncunya. Apa guna usia muda kalau kita tidak pedulikan masa depan Negara kita. Apa guna tenaga masih gagah tidak digunakan untuk Negara. Apa guna masa muda jika tidak terlibat dalam lipatan sejarah Malaysia. Apa guna usia muda anda semua?

Hey anak muda Malaysia. Mereka boleh sahaja mengugut kita. Tapi kita punya rakyat di belakang kita. Kita punya Maha Pencipta di belakang kita. Kita tidak perlu gusar dengan mereka. Jangan takutkan sebuah pertubuhan yang berketuakan tidak punya maruah. Sedangkan semut hitam belum tentu punyai rasa hormat pada ketua mereka. Mereka mahu halang kita? Ketika mereka mendengar suara ratusan ribu rakyat sudah pasti mereka akan jadi lemah semangat. Apabila derapan kaki oleh ratusan ribu rakyat sudah pasti menggetarkan hati mereka. Percayalah anak muda Malaysia, mereka akan patah balik jika suara yang kita laungkan itu benar – benar kuat. Bukan saja mampu menakutkan pertubuhan yang tidak punya maruah itu malah anak menantu juga takut dan suara kita pasti akan digeruni oleh si DIA yang berada di Putrajaya.

Hey Anak Muda! Rakyat Malaysia sedang menanti kita! Orang – orang kampung sedang menantikan kejayaan kita dalam menuntut perubahan. Jika anak muda Mesir, Tunisia dan di mana saja berjaya, mana mungkin kita tidak boleh!! Marilah kita menjadi sebahagian dalam sejarah ini. Biar esok – esok sebelum kita di panggil kembali oleh Pencipta kita, dapatlah kita berceritakan sesuatu pada generasi yang akan datang.

Hey Anak Muda Malaysia! Simpan tarikh 9/7/2011 dalam calendar. Jangan lupa! Jangan bimbang! Ayuh kita mara kehadapan! Laungkan sekuat – kuat hati kita!

HIDUP RAKYAT!
BERSIH BERSIH..PILIHANRAYA!!

Isnin, 13 Jun 2011

BERSIHkan Malaysia!

Tanggal 9/7/2011 bakal menyaksikan ratusan ribu rakyat Malaysia bakal berhimpun di Kuala Lumpur. Tujuannya hanya satu untuk menuntut pilihanraya yang lebih adil. Kita mahu menunjukkan kepada Yang Dipertuan Agong yang rakyat selama ini merasa tertipu dengan sistem pilihanraya yang ada sekarang.

Namun hak kita untuk berhimpun bakal diperkosakan oleh Najib dan Hishamuddin. Hak kita untuk berhimpun seperti mana yang dapat dinikmati oleh Perkasa dan Umno bakal dinafikan oleh pihak berkuasa. Siapa kita? Kita juga rakyat Malaysia yang berhak berhimpun di depan Istana Negara. Kita juga punyai hak yang sama dengan Perkasa yang bebas berhimpun di depan Utusan Malaysia, di depan ibu pejabat keADILan, dan sebagainya. Kenapa kita tidak boleh? Kenapa?

Jawapannya kerana perhimpunan Perkasa dan Umno tidak pernah mendapat sambutan. Cukup bertuah jika kehadiran mereka dapat mencecah 10,000 orang. Sedangkan hakikatnya dengan diangkut bas, makanan, diberikan pelbagai buah hati dan imbuhan baru dapat mencecah kira - kira 5000 orang sahaja. Sedangkan kita rakyat, tanpa perlu semua itu dapat sahaja jumlah mencecah puluhan malah ratusan ribu rakyat. Kerana apa kita ramai? Kerana inilah suara rakyat yang sebenar. Kita rela datang dari Perlis hingga ke Johor untuk datang berhimpun sama di ibukota Malaysia iaitu Kuala Lumpur. Kita bukannya penjilat setia kerajaan. Kita bukannya insan yang sanggup menggadai maruah diri dan keluarga hanya demi untuk kuasa yang tidak kekal ini. Kita bukannya sehina Ibrahim Ali. Kita bukannya sejijik Umno. Kita ada nilai dan maruah yang tidak boleh dibeli dengan kuasa dan wang ringgit.

Mereka semuanya cemburu dengn kekuatan rakyat. Walaupun perhimpunan mereka telah diwar - warkan di media perdana dan sebagainya namun tetap tidak mampu mencecah ribuan orang yang datang dengan ikhlas. Itu sebab kenapa mereka cemburukan kita. Nah, sekarang mahu mengugut kita. Mahu membuat perhimpunan pada hari yang sama. Pada tahun 2007 mereka juga pernah cuba mengugut kita. Mahu menghimpunkan 200,000 orang. Namun kita tidak takut dan gentar. Sedangkan hentakan dan sepakan FRU berani kita hadapi inikan pula segerombolan pemuda gemuk - gemuk yang pendek akal. Ini bukan bererti kita mahu bergaduh dengan mereka. Tapi kita mahu memberitahu kepada kumpulan gemuk - gemuk yang mengaku panglima, jangan mengugut kita dengan ugutan yang pendek akal. Kami semua ada maruah dan tidak mudah goyah dengan ugutan seperti itu.

Buat rakyat Malaysia yang melihat Malaysia BERSIH harus datang pada 9/7/2011. Kita harus turut serta menjadi sebahagian daripada saat dan waktu bersejarah ini kerana inilah perhimpunan yang paling bersejarah yang bakal anak cucu kita lihat.

HIDUP RAKYAT!!

Selasa, 22 Februari 2011

Harga Minyak Nak Naik Lagi!!??

KUALA LUMPUR 21 Feb. - Kerajaan dalam keadaan tertekan untuk mengekalkan subsidi minyak petrol berikutan kenaikan berterusan harga minyak mentah di pasaran dunia ketika ini.
Justeru itu, kata Pensyarah Kanan Kolej Pengurusan Bisnes dan Perakaunan Universiti Teknologi Nasional (Uniten), Dr. Rusinah Siron, rakyat perlu bersedia menerima kemungkinan kenaikan harga petrol di pasaran tempatan meskipun kerajaan memberi jaminan tidak akan sewenang-wenang menaikkan harganya. Sumber : Utusan

-----------------------------------------------------

Dahulu Pak Lah buat silap, bila umum harga minyak naik dia sendiri yang umum. Tapi zaman Najib tak lagi. Dia suruh pensyarah, tauke kedai minyak, presiden persatuan mangkuk hayun mana entah yang akan keluarkan kenyataan

Hari ini, kerajaan Malaysia sekali lagi menggunakan taktik busuk macam itu. Apalah nasib kita. Dulu janji dah tak naikkan harga minyak. Sekarang secara tiba - tiba harga minyak macam dan bakal dinaikkan. Semuanya pasti berlaku selepas pilihanraya kecil DUN Merlimau dan Kerdau.

Oh ya, penyokong tegar Umno undilah Umno lagi. Jangan lupa, bila mengundi anda semua boleh berseronok dengan kenaikan harga minyak.

Buat pengundi atas pagar, sila fikir dengan waras. Bila harga minyak naik saja, secara agresif harga barang akan naik. Jadi silalah buat keputusan yang wajar. Jangan bebankan rakyat Malaysia jika anda mengundi BN. Kami tak sanggup harga minyak dan harga barang naik lagi.

Buat pemuda Pakatan Rakyat. Jangan diam saja. Sudah lama mereka khianat rakyat. TOlonglah, bawa suara kami ke jalanraya sekali lagi!!

Barisan Nasional dan Umno...tunggu!! Masa anda semua akan tiba!

Sabtu, 19 Februari 2011

Menggempur BN Bermula Sekarang!!!

Jangan tidur lena wahai rakyat Malaysia. Gendang perang untuk menyerang BN telah dibunyikan. Semboyan perang telah ditiupkan. Semangat dan panji perang telah dinaikkan setinggi - tingginya. Apakah kita mahu terus diam dan melihat apa yang bakal terjadi?

Puluhan ribu telah bersiap - sedia untuk berperang di utara Kedah. Mereka bersiap - sedia untuk bertempur habis - habisan dengan Umno dan Barisan Nasional. Semuanya kerana mahu melihat Malaysia bebas dari penguasa yang zalim. Sudah 50 tahun lebih mereka memerintah. Tiba masanya kita menghumban mereka ke Laut China Selatan. Sudah 50 Tahun nasib agama Islam yang dijanjikan dalam perlembagaan telah hanyut begitu sahaja. Sudah 50 tahun lebih nasib orang Melayu di kampung diabaikan, dibodohkan, dibengapkan, dibebalkan dan dimiskin agar mereka terus setia menyokong Umno.

Rakyat Malaysia di bandar, orang Melayu di bandar, tidakkah kita semua terasa tercabar dengan sifat kebinatangan Umno ini. Mereka sengaja mengalih perhatian kita dengan isu Ketuanan Melayu agar kita lupa akan sifat ketamakan mereka merompak wang rakyat. Kita dibebalkan dengan isu Ketuanan Melayu walaupun sekarang ini kita sedang terhimpit dengan harga kenaikkan barang yang melampau. Kita dibengapkan dengan Ketuanan Melayu walaupun yang merampas kuasa raja - raja Melayu pada tahun 1993 adalah Umno!!


Puluhan ribu telah bersiap - sedia. Menyelamatkan Malaysia adalah misi utama mereka. Mahukah kita terus diam? Tidak! Gunakan facebook, twitter, blog dan apa saja ruang untuk menggempur kebiadapan BN. Jangan bagi ruang mereka bernafas. Sudah lama kita berdiam diri. Bangunlah. Seranglah Umno habis - habisan. Masanya sudah tiba!!

SELAMATKAN MALAYSIA!!

Jumaat, 11 Februari 2011

Menanti Laungan Rakyat

Cemburu aku kepada rakyat Tunisia. Cemburu aku kepada rakyat Mesir. Cemburu aku pada rakyat Yaman. Cemburu aku pada rakyat Jordan. Cemburu aku pada rakyat Algeria. Cemburu kerana mereka berani menyuarakan pendapat mereka. Mereka tanpa segan - silu menuntut hak mereka kepada penguasa yang lama berkuasa dan zalim.

Aku cemburu kerana laungan rakyat yang suatu ketika dahulu di Malaysia amat ditakuti. Aku cemburu kerana suara rakyat sudah kurang kedengaran. Kali terakhir aku mendengarnya ketika menyokong kerajaan negeri Selangor mempertahankan air percuma kepada rakyatnya. Bilakah agaknya suara rakyat akan berkumandang sekali lagi.

Ketika artikel ini sedang ditulis jutaan rakyat Mesir sedang bergembira menyambut kemenangan menggulingkan pemimpin yang menjadi pencacai Israel. Pembunuh rakyat Palestin. Mereka sedang berpelukan dan menangis kegembiraan kerana telah berjaya menggulingkan pemimpin yang zalim, jahat dan kejam ini iaitu Hosni Mubarak. Aku cemburukan rakyat Mesir. Kalian semua pejuang rakyat. Kalian semua telah syahid di jalan yang benar. Syurga sedang menunggu kalian. Menjatuhkan pemimpin yang bersubahat dengan Yahudi adalah penting.

Aku rindukan suara rakyat Malaysia. Aku rindukan laungan oleh ratusan ribu rakyat pada tahun 1998, 2000, 2007, 2009 dan terakhir 2010. Aku rindukan bagaimana kita berarak sama. Membentuk rantai manusia dan bergerak menuju kedepan. Dihadapan kita telah bersiap - sedia aparat Umno dan BN. Berwarna merah. Amaran diberi. Kita tetap tidak mundur. Kita maju kedepan, terus maju. Laungan makin kuat kedengaran. Kita akan bertambah semangat kalau ada orang yang kita harapkan ada bersama kita. Pancutan air kimia dilepaskan. Kita tidak berundur. Gas pemedih mata dilepaskan, kita tetap tidak berundur. Kita berkumpul kembali.

Rakyat Malaysia semua, tidakkah kalian semua rindukan detik itu? Kita dalam keadaan semua harga barang naik. Gaji tidak naik. Kita semakin hidup susah. Walaupun kita masih boleh makan, tapi kita tetap mengeluh mengenang nasib kita di masa hadapan. Orang susah seperti kita ini sangat terkesan dengan kenaikan harga barang.

Rakyat Malaysia, jalanraya sedang menunggu kita. Laungan keramat sudah lama tidak keluar dari anak tekak kita. Bangunlah, bangkitlah...Masa depan Malaysia ditangan kita!!

Duit Kita BN Sebat

Sudah puluhan tahun kita bekerja keras untuk memastikan kita mampu menyara diri - sendiri dan keluarga. Jika dahulu RM10.00 boleh tahan hingga ke dua hari. Hari ini RM10.00 setengah hari saja. Jika dahulu RM50.00 kita boleh gunakannya selama 1 minggu, hari ini hanya 3 hari sahaja.

Kenapa jadi begitu? Puncanya senang, harga minyak naik. Bila harga minyak naik, semuanya terpaksa naik. Dalam negara ini, tiada sebarang urusan perniagaan yang tidak melibatkan pengangkutan yang menggunakan diesel dan petrol. Maka sayur - sayur dari Cameron Highlands yang mahu diangkut kesana - sini, harganya pasti dinaikkan. Harga beras dari utara Malaysia yang diangkut menggunakan lori, terpaksa dinaikkan. Harga pemasangan astro satu Malaysia terpaksa dinaikkan sebab menggunakan harga minyak.

Apa punca harga minyak naik? Sebab harga dunia ke? Tidak. Harga minyak naik sebab negara kita sudah tidak punya wang. Kita tidak punya wang kerana keborosan, kerakusan, ketamakkan beberapa pemimpin negara yang laparkan duit. Projek harga ratusan ribu terpaksa dinaikkan puluhan juta harga semata mahu memastikan beberapa peratus dari jumlah tersebut masuk ke poket mereka. Mahu melancong bersama digunakan dana negeri ratusan ribu macam Khir Toyo. Mahu membeli - belah, ratusan juta digunakan dan diambil dari kerajaan macam Rosmah.

Kita rakyat Malaysia terus - menerus dipaksa dan dizalimi. Kita semakin tersepit. Apakah tiada jalan keluar? Mahu mengundi, pilihanraya di Malaysia paling kotor dan tidak adil. Mahu apa lagi? Ke jalanraya? Beranikah kita? Mampukah mendepani kezaliman pihak polis yang menerima arahan dari Najib untuk membantai kita? Kita mampu! Cuba kita hanya menunggu masa yang sesuai. Kita sudah tidak takut dengan herdikan mereka. Kita sudah lali dengan gas pemedih mata. Kita sudah berani berdepan dengan FRU. Semuanya kita sudah berani. Kita lebih berani dari tahun 1998.

Masa untuk kearah itu hanya menunggu masa yang tepat. Najib dan Rosmah jangan terlalu bergembira. Rosmah, rakyat berdendam dengan kau. Ratusan juta kau telah bazirkan. PERMATA projek bodoh telah mendapat RM 111 juta!! Makin lama Rosmah wujud makin teruklah keadaan wang negara. Makin lama BN memerintah makin jahanamlah negara kita. Kita terpaksa membayar harga yang mahal untuk mendapatkan sesuatu. Berbeza negara lain. Negara yang baik adalah negara yang membangun dengan nilai - nilai yang baik. Rakyat tidak merasa susah. Kekayaan negara dikongsi bukannya hak milik orang Umno. Rakyat tidak perlu mengikat perut semata mahu mendapatkan sesuap nasi. Pemimpin yang perlu berkorban bukannya rakyat. Itu contoh negara yang baik.

Regim yang jahat sama seperti Mesir, Tunisia, Yaman, Algeria dan sebagainya. Kerana apa mereka jahat? Kerana mereka yakni pemimpin hidup mewah sedangkan rakyat terpaksa berhempas - pulas demi negara. Duit yang kita kerjakan dapat kepada pemimpin.

Mesir sedang menunggu masa mendapat sinar baru. Bagaimana Malaysia? Haruskah kita terus menunggu?

Isnin, 7 Februari 2011

Pemuda Pakatan Penakut

Ini suara rakyat. Suara yang semakin lama semakin gelisah. Harga barang semakin naik. Gaji tidak naik. Dari harga minyak hinggalah harga bawang, semuanya telah naik mendadak. Namun tiada satu pun berani membawa suara ini dengan lebih keras. Adakah cukup dengan kenyataan di media sahaja?

Hey, pemuda Pakatan Rakyat. Dimana keberanian kalian semua? Kenapa harus diam menikus? Kenapa tidak mahu membawa suara kami ke jalanraya. Malu jika Tan Sri Khalid Ibrahim mampu membawa suara rakyat ke jalanraya untuk isu air. Kenapa isu yang lebih besar kalian semua takut?

Kami rakyat sedia turun ke jalanraya. Sudah bertahun gas pemedih mata, tembakan air kimia dan hentakan belantan FRU kami terima. Semuanya itu tidak pernah mematahkan semangat kami. Kami sedia turun sekali lagi ke jalanraya untuk memberitahu kepada kerajaan yang memerintah pada hari ini, kami sudah bosan dengan janji - janji palsu mereka.

Harga barang semakin menggila naik. Tanyalah pada mereka yang sudah berkeluarga, tanyalah mereka yang bujang. Semuanya mengeluh, kenapa pemuda Pakatan Rakyat diam sahaja. Apakah kalian semuanya hanya mahu membantah pada pilihanraya yang ternyata berat sebelah? Apakah suara kami hanya berguna pada pilihanraya sahaja?

Tolonglah kami. Bawa suara kami ke tempat sewajarnya. Kami sudah bosan dengan kerajaan penipu ini. Kami sudah terhimpit dengan harga barang yang semakin gila ini. Anak - anak muda Malaysia bersedia, apakah kalian semua tidak bersedia?

Jumaat, 26 November 2010

Anak Muda Selangor Harus Bangkit!

Buktikan pada semua warganegara Malaysia bahawa anak muda Selangor mampu mengubah keadaan.

Anak muda Selangor mampu menghalang perancangan Iblis kerajaan pusat dan Syabas untuk menaikkan harga air yang SELAMA INI KITA NIKMATI SECARA PERCUMA!!

HARUS KITA BANGKIT MENENTANG PENJAJAH YANG PERANGAI MACAM YAHUDI ZIONIS!! UMNO DAN SYABAS MERUPAKAN ZIONIS YANG JAHAT!!

Ayuh bangkit...

Menyeru ratusan ribu anak muda Selangor agar bangun dan bangkit. Pertahankan hak kita. Jangan biar mereka merampas yang kita nikmati selama ini. Bangun...Bangun.

HIDUP RAKYAT!!!

Selasa, 23 November 2010

Mampukah BN Ditumbangkan?

Kita sering diajukan persoalan tersebut. Adakalanya kita memberi jawapan yang enak - enak dan lunak untuk didengar. Kita memaksa diri kita dibuai mimpi yang indah dengan mengimpikan kemenangan yang hebat dan berjayanya Pakatan Rakyat melangkah ke Putrajaya. Bila difikirkan balik sedapnya angan - angan itu tiada tandingnya.

Tapi pernahkah kita berfikir secara mendalam apakah mampu Bn ditumbangkan? Dengan kaedah apa yang kita harus lakukan untuk membenam Bn. Apakah cukup sekadar dengan ceramah perdana, tulisan - tulisan pedas dan kritis dari blogger - blogger terhadap Umno dan Barisan Nasional? Apakah kita sudah memastikan Harakah dan Roket sampai ke tangan orang kampung?

Jika ditanya kepada saya, jawapannya TIDAK! Tidak sama sekali. Jangan mimpi jika mengikut logik akal Bn dapat ditumbangkan. Perjalanan kearah kemenangan secara total masih terlalu jauh. Kita mungkin menang bergaya di Semenanjung tapi di Kepulauan Borneo iaitu Sarawak dan Sabah masih lagi menjadi taruhan sejati buat Bn. Kawasan tersebut kawasan tabung keselamatan undi Bn. Cuba kita tanya pada diri kita sendiri secara jujur dan ikhlas. Jika Sarawak dan Sabah terus - menerus menjadi kawasan paling selamat buat Bn apakah mampu kita melihat Pakatan Rakyat menggantikan Bn?

Ada juga mengeluarkan idea, BN tidak kuat tapi Pakatan Rakyat yang bodoh. Bodoh kerana diri - sendiri bercakaran. Saya malas mahu mengulas apa yang berlaku kepada Parti Keadilan Rakyat. Saya mengharapkan lepas sahaja perhimpunan Agung mereka semuanya tamat. Saya bukan ahli parti. Ikutkan jika Bn itu adil dan SPR itu adil sudah lama saya menghumban keluar Pakatan Rakyat khasnya wakil - wakil rakyat PKR. Tapi atas dasar mahu menamatkan keangkuhan pemimpin Umno buat sementara waktu saya tekadkan hati juga untuk terus menyokong Pakatan Rakyat. Ketika PKR sedang bergolak, media Umno dengan senang hati memainkan isu tersebut. Setiap hari, tanpa penat. Bohong kalau tiada rakyat Malaysia yang termakan dengan dakyah tersebut. Imej PKR semakin busuk kerana percakaran yang mereka lalui sekarang ini. Sekarang langkah untuk memulihkannya berada ditangan Anwar Bin Ibrahim. Jika berjaya dia menghimpunkan kembali ratusan ribu anak muda maka selagi itulah Bn akan gagal merampas negeri - negeri yang sedang diperintah oleh Pakatan Rakyat.

Kekuatan utama Pakatan Rakyat adalah anak muda. Baik sebahagiannya besarnya dari orang Islam dan Melayu hinggalah ke Cina dan India. Jika pemimpin utama tidak menunjukkan minat mereka kepada anak muda maka jangan harap parti tersebut akan berkembang. PAS beruntung kerana TG Nik Aziz dilihat garang dan tegas. Cukup untuk menimbulkan rasa hormat dan dokongan penuh daripada anak muda. Jangan terkejut sekarang populariti Menteri Besar Kedah dikalangan anak muda melonjak naik. Kesannya kerana media perdana memutarkan bibit - bibit beliau memarahi media. Ya, akan ada yang kata itu tindakan tidak wajar. Tapi buat anak muda Kedah ianya sudah cukup menimbulkan rasa hormat dan sokongan penuh kerana beliau menunjukkan sifat penentangan yang kuat. Mungkin ada yang tidak percaya, silalah pergi ke Kedah dan soal anak - anak muda yang berada di sana. Jika keadaan terus - menerus sebegini maka PAS di sesetengah negeri berada di dalam keadaan yang cukup selesa. Bagaimana PKR?

Sengaja tidak mahu menyentuh DAP kerana parti tersebut sememangnya mendapat sokongan kuat daripada anak muda Cina dan India. Saya hanya khuatirkan pada PKR. Parti yang asalnya menjadi harapan anak muda dan menjadi kebanggaan anak muda untuk membawa benderanya kemana sahaja. Jika Anwar Ibrahim atau siapa sahaja yang berada dalam parti tersebut gagal menjadi ikon untuk anak muda. Maka siap - sedia untuk menghadapi kemerosotan undi dari anak muda.

Jadi dengan penulisan yang panjang lebar. Cuba kita renung sejenak khasnya PAKATAN RAKYAT. Mampukah kita semua menumbangkan Bn?

Rabu, 3 November 2010

Pilihanraya Tak Dapat Mengubah Apa-apa

Pilihanraya di Malaysia hanyalah sebahagian kosmetik dalam dunia demokrasi yang dijual oleh Umno dan Barisan Nasional. Kita rakyat Malaysia terus dipaksa untuk menerima konsep demokrasi yang Umno dan Barisan Nasional tentukan. Hasilnya, kita ditipu dan ditipu selama 52 tahun. Walaupun ada suatu masa kita berjaya menang besar, segera diciptanya isu 13 Mei dan hasilnya darurat. Sekarang walaupun berjaya menafikan 2/3 majoriti dan memerintah 5 negeri namun lihat apa yang terjadi di Perak.

Ini semua bukti jelas, pilihanraya hanyalah alat untuk menjustifikasikan di depan mata dunia Malaysia sebuah negara yang mengamalkan demokrasi. Dunia tidak akan mempersoalkan bagaimana ianya dijalankan. Dunia hanya perhatikan negara ini demokrasi atau tidak. Jika Malaysia tidak demokratik maka susah bagi mereka untuk melobi negara - negara luar untuk datang melabur. Mereka yang menjalankan demokrasi ala-Umno ini tidak mahu dihentak teruk oleh negara - negara luar tidak mereka tidak melaksanakan demokrasi. Inilah permainan Umno dan Barisan Nasional.

Kita sering dibodohkan oleh SPR dan Umno. Kita rakyat Malaysia terlalu berlembut dengan mereka yang telah permainkan hak kita. Gambar telah menunjukkan petugas wanita Umno memberi duit kepada para pengundi. Namun SPR mengatakan ianya bukan bentuk rasuah. Tapi bayangkan jika PAS dan Pakatan Rakyat memberi duit sebegitu rupa, maka bersiap - sedialah kita mendengar gegak - gempita daripada pihak SPR. PAS rasuah, Pakatan Rakyat terlibat dengan politik wang dan sebagainya. Kita harus akur dan akui, semua jentera negara atau kerajaan semuanya telah dipegang oleh Umno dan Barisan Nasional. Kita rakyat sedang bertempur dengan satu pasukan tentera yang cukup besar. Jika kita bermain bolasepak, kita sedang berdepan dengan satu pasukan yang mempunyai 22 orang pemain sedangkan kita hanya 11 orang di padang. Sudah pasti teruk kita kena pukul. Permainan yang tidak pernah adil. Namun kita dipaksa oleh Umno untuk menerima cara permainan sebegini rupa. Hasilnya, walaupun menang besar kita tetap kehilangan satu negeri iaitu Perak. Kita tetap dengar ada sahaja ADUN - ADUN atau Ahli Parlimen yang melompat keluar dari parti. Semuanya kerana Umno bertindak cara mafia. Mereka boleh buat tapi Pakatan Rakyat jangan sesekali berbuat sedemikian rupa.

Kita sekarang dipaksa untuk menjadi manusia yang taat pada Umno secara tidak langsung. Walaupun suara kita, tindakan kita, dan perjuangan kita menentang Umno secara agresif akan tetapi secara tidak langsung kita masih lagi menyokong Umno. Kita masih lagi sayangkan Umno. Buktinya? Kita masih lagi mengikut rentak - tari Umno dan Barisan Nasional. Rentak - tari dalam pilihanraya cara Umno. Demokrasi cara Umno. Walaupun kita menjerit pilihanraya tidak adil namun kita tetap juga menyertainya. Kita sama sahaja dengan orang kampung yang marah dengan kerajaan kerana tidak memberikan kemudahan asas yang cukup. Namun apabila pilihanraya dibuat tetap juga sokong Umno. Bukankah kita sama dengan mereka. Apakah kita sama dengan mereka yang tidak dapat maklumat yang cukup?

Saya tetap percaya, selagi mana kita ikut rentak - tari Umno dan Barisan Nasional. Selagi itulah mereka akan terus berkuasa. Berkuasa hingga kiamat. Jangan harap Putrajaya dapat kita tawan. Kita harus dan wajib tidak mengikut rentak - tari mereka. Kita akan tertipu dengan demokrasi Umno. Kita akan tertipu dengan pilihanraya Umno yang dilaksanakan oleh SPR.

Jalan penyelesaian kepada kemelut ini, lihat saja sejarah perjuangan Indonesia, Korea Selatan (386 Movement), Thailand, Filipina dan sebagainya. Dimana mereka menuntut kebenaran dan keadilan. Lapangan mana mereka menuntut agar hak mereka dikembalikan. Lihat dan sudah pasti anda semua akan mendapat jawapannya.

Sabtu, 23 Oktober 2010

Jangan Mimpi Pakatan Tawan Putrajaya

PRU-13 bakal diisytiharkan dalam masa terdekat ini. Ada yang yang menjangkakan tahun depan dan ada yang menjangkakan 2012. Semuanya telah bersiap-sedia dengan jentera pilihanraya masing - masing baik BN mahupun Pakatan Rakyat. Niat mereka hanya satu, mempertahankan kuasa dan mengambil-alih kekuasaan yang sedia ada.

Namun sedarkah kita terutamanya rakyat, jika ditakdirkan kita semua sebulat suara menyatakan sokongan kepada Pakatan Rakyat dan impian melihat Putrajaya ditawan oleh kita menjadi kenyataan, apakah ianya benar - benar menjadi kenyataan? Apakah ianya akan diizinkan oleh Rosmah dan Najib Tun Razak?

Mari kita melihat kenyataan Najib mengenai kuasa yang bakal mereka pertahankan :
"Walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa. Saudara dan saudari, walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan!" kata Najib Razak ketika merasmikan perhimpunan agung Umno di PWTC pagi ini." Sumber : Malaysiakini

Ini semua signal jelas bahawa walau Pakatan Rakyat yang buat sementara waktu ini menjadi harapan untuk membela rakyat menang besar sekali pun, Umno dengan konco - konconya akan tetap mempertahankan Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya. Mereka sesekali tidak membenarkan kita yakni rakyat merampas kuasa yang ada pada mereka. Biarlah satu semenanjung jatuh ke tangan Pakatan, biarlah Sarawak jatuh ke tangan Pakatan dan biarlah Sabah jatuh ke tangan Pakatan tapi untuk membiarkan Putrajaya jatuh ke tangan Pakatan Rakyat tidak mereka sesekali membenarkannya.

Najib sudah pun memberi amaran awal kepada Pakatan Rakyat dan rakyat. Umno dan konco - konconya akan sanggup berbuat apa sahaja untuk memastikan kuasa yang mereka ada itu tidak jatuh ke tangna rakyat. Apakah kita rakyat sedar akan kenyataan ganas Najib itu? Apakah kita rakyat sudah bersiap - sedia dengan tindakan ganas Najib itu?

Berani saya katakan, Pakatan Rakyat jika mengikut logik akal hanya dapat memerintah selama 3 hari sahaja. Kenapa 3 hari? Najib akan mengarahkan seluruh samseng - samseng yang berada di dalam parti tersebut dan NGO yang mengaku MELAYU membuat huru - hara sekitar bandaraya Kuala Lumpur. Hatta bilangan mereka 100 orang sudah cukup untuk mengizinkan darurat diisytiharkan. Sememangnya bunga - bunga darurat yang bakal mereka lancarkan memang akan terjadi.

Persoalan yang ada kepada saya dan mungkin orang lain. Apakah pilihanraya dapat mengubah kerajaan yang serba bodoh ini. Apakah pilihanraya benar - benar dapat memberikan keriangan kepada rakyat? Apakah pilihanraya benar - benar dapat memberikan hak rakyat untuk menukar kerajaan yang sedia ada?

Bak kata Hishamuddin Rais aka TukarTiub : "Jika pilihanraya dapat mengubah sesuatu sudah pasti pilihanraya itu diharamkan." Logiknya ada. Suara Keadilan diharamkan. Harakah diharamkan dijual di tempat awam. Majalah Wasilah diharamkan. Semuanya diharamkan kerana telah membentuk kesedaran rakyat. Telah menyedarkan rakyat betapa kejinya kerajaan yang ada pada hari ini.

Nah, sekarang media baru (blog, facebook, media alternatif) mula diberi tekanan. SKMM telah mula melancarkan serangan kepada Malaysiakini.Apa sahaja yang dapat menganggu kuasa mereka semuanya akan diserang, diharamkan, ditangkap hatta dibunuh. Kita tidak punya pilihan. Jika media - media diharamkan apatah lagi pilihanraya. Sudah pasti pilihanraya ini akan diharamkan. Apa tanggungjawap kita? Diam? Memerhatikan saja?

Hanya satu sahaja untuk melawan aksi kejam Umno ini. Hanya satu saja untuk menyatakan secara tegas buat Umno dan PERKASA yang bakal membuat onar suatu hari kelak. Jika pilihanraya diharamkan, kita pilih PILIHANJALANRAYA!!

Sabtu, 15 Mei 2010

Suara Rakyat Suara Keramat

Moga - moga Allah merahmati kerajaan yang jujur ini, Allah menyelamatkan kerajaan yang ikhlas bekerja untuk rakyat ini dan melindungi anasir - anasir biadap dan berketurunan Yahudi yang cuba merampas kerajaan yang baik ini.

Ya, Allah aku memohon padamu Ya Allah, selamatkan kerajaan Pakatan Rakyat. Sesungguhnya kerajaan ini benar - benar ikhlas membantu rakyat. Ya Allah, jauhi kerja - kerja jahat daripada mereka yang berperangai seperti Yahudi ini Ya Allah. Ya Allah, jauhilah kerja - kerja jahat daripada PERKASA, Zulkifli Noordin, Najib Razak, dan sesiapa sahaja yang bersekongkol dengan Yahudi...Amin Ya Allah


Selepas Tsunami (After the Tsunami) from Pusat KOMAS on Vimeo.