Isnin, 20 Julai 2009

Selamat Menyambut Israk Mikraj

Khas buat umat Islam, selamat menyambut hari yang penuh bermakna dalam kehidupan seharian kita.

Akibat peristiwa ini, solat lima waktu diperkenalkan.

Bacalah artikel yang dikutip dari www.al-ahkam.net.

Sempena hari bersejarah ini, wajib kita menginsafi akan kebesaran Allah s.w.t dan kemuliaannya nabi junjungan kita Muhammad s.a.w

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

“PERJALANAN MALAM” (Isra’) yang ditempuh Nabi dari Mekah ke Baitulmaqdis dan “pengangkatan” (Mi‘raj) Baginda ke langit, pada hakikatnya, adalah dua tahap daripada satu pengalaman mistik, yang berlaku hampir setahun sebelum peristiwa hijrah ke Madinah (cf. Ibn Sa‘d 1/1, 143).



Menurut riwayat hadith yang terkenal – yang banyak dikutip dan dibincangkan oleh Ibn Kathir dalam huraiannya pada surah 17:1, dan Ibn Hajar dalam Fath al-Bari VII, 155 ff. – Rasulullah, yang ditemani Malaikat Jibril, mendapati dirinya dipindahkan dalam suatu malam ke tapak istana Nabi Sulaiman di Baitulmaqdis, di mana Baginda memimpin satu kelompok jemaah Nabi-Nabi terdahulu dalam solat; yang sebahagiannya ditemui semula di langit. Pengangkatan ini, secara khusus, sangat penting dari sudut pandangan teologi Islam justeru kerana dalam rangka pengalaman inilah solat lima waktu difardukan, dengan perintah Allah, sebagai sebahagian daripada ikatan aqidah Islam.

Memandangkan Nabi sendiri tidak memberikan sebarang penjelasan yang kukuh berkait dengan pengalaman ini, maka para pemikir Islam – termasuklah di kalangan Sahabat – sering berbeza pandangan tentang keadaannya yang sebenar. Majoriti para Sahabat berpendapat bahawa Isra’ dan Mi’raj ini kedua-duanya berlaku secara fizikal – dengan perkataan lain, Nabi telah dibawa dengan jasadnya ke Baitulmaqdis dan kemudian ke langit – manakala kalangan minoriti percaya bahawa ia hanya melalui pengalaman ruh. Dalam kalangan yang kecil ini, kita dapati, khasnya, ‘Aisyah, isteri Nabi dan sahabat yang paling dekat dengan Baginda dalam tahun-tahun kerasulan yang berikutnya, yang begitu positif mempertahankan pandangan bahawa “Baginda hanya dibawa dengan ruhnya sahaja (bi-ruhihi), sedangkan tubuhnya tidak meninggalkan tempatnya” (cf. Tabari, Zamakhshari dan Ibn Kathir dalam tafsiran mereka pada surah 17:1); Ulama besar Hasan al-Basri, yang lahir dalam generasi berikutnya, turut mendukung pandangan tersebut (ibid).

Dan berbeza dengan pendirian ini, ahli-ahli teologi Islam yang menegaskan bahawa Isra’ dan Mi’raj ini adalah pengalaman fizikal telah merujuk pada pandangan dan keyakinan majoriti para Sahabat – tanpa, bagaimanapun, berupaya untuk menunjukkan sebarang hadith yang dapat menjelaskan bahawa Nabi sendiri menyatakan demikian. Sebahagian sarjana Islam menekankan maksud ungkapanasra bi-‘abdihi (“Dia memindahkan hambanya di waktu malam”) yang tercatat dalamsurah 17:1, dan percaya bahawa ungkapan ‘abd (“hamba”) itu menyerlahkan keadaan makhluk hidup yang sempurna, iaitu, gabungan jasad dan ruh.

Interpretasi ini, bagaimanapun, tidak mengambil kira kemungkinan bahawa ekspresi asra bi-‘abdihi hanya merujuk pada sifat keinsanan Nabi yang sejajar dengan maksud ayat-ayat al-Qur’an lain yang menjelaskan bahawa, Baginda, seperti Nabi-Nabi yang lain, hanyalah hamba Allah yang tidak kekal, dan tiada sebarang keupayaan ajaib. Ini, pada pandangan saya, telah dinyatakan sepenuhnya dalam penyataan akhir pada ayat di atas – “Sesungguhnya – Hanya Dia yang Maha Mendengar, Maha Melihat” – diikuti dengan penjelasan bahawa Nabi telah diperlihatkan ayat-ayat Allah (min ayatina), iaitu, disingkap sebahagian, namun tidak semua, dari kebenaran dan kenyataan sebenar daripada ciptaan Tuhan.

Hujah yang paling ampuh dan meyakinkan bagi mendukung tafsiranruhaniyah dalam kedua-dua Isra’ dan Mi’raj ini dijelaskan dalam pernyataan simbolik hadith sahih mengenai dua pengalaman ini: tafsiran, yang dilakarkan secara sangat simbolik yang tidak memungkinkan ia difahami secara literal, iaitu dalam bentuk “fizikal”. Justeru, sebagai contoh, Rasulullah mengungkapkan apa yang ditemuinya di Baitulmaqdis, dan seterusnya di langit, beberapa Nabi terawal, yang mana semuanya tanpa ragu telah pun wafat di kurun yang lampau.

Menurut sebuah riwayat hadith (yang dikeluarkan oleh Ibn Kathir daripada riwayat Anas, Baginda menziarahi Nabi Musa di kuburnya, dan mendapatinya sedang bersembahyang. Dalam hadith yang lain, juga dari riwayat Anas (cf. Fath al-Bari VII, 185), Nabi menggambarkan bagaimana, dalam Perjalanan Malamnya, Baginda bertemu dengan seorang perempuan tua, dan ketika itu diberitahu oleh Jibril, “Perempuan tua ini adalah dunia yang fana’ (ad-dunya)”. Dalam riwayat hadith yang lain, dari Abu Hurairah (ibid.), Nabi “melintasi sekumpulan manusia yang sedang menyemai dan mengetam padi, dan setiap kali mereka selesai menuai, [pucuknya] tumbuh semula. Jibril berkata, ‘Mereka ini adalah pejuang di jalan Allah (al-mujahidun).’

Kemudian mereka melintasi sekumpulan manusia yang kepalanya hancur dimusnahkan batu; setiap kali berkecai, ia kembali bulat seperti sediakala. [Jibril] berkata, ‘Ini adalah kalangan yang kepalanya keras tidak mengendahkan sembahyang.’…Kemudian mereka melalui sekelompok manusia yang menghadam daging mentah yang busuk, dan melemparkan daging yang enak dan baik. [Jibril] berkata: ‘Ini adalah golongan penzina.’

Dalam sebuah hadith yang sangat masyhur tentang mi‘raj (dikeluarkan oleh Bukhari) Nabi mengungkapkan kisahnya dengan berkata: “Ketika aku sedang berbaring di atas tanah di sebelah Kaabah [lit., “dalam linkungan hijr”], nah! tiba-tiba datang Malaikat menghampiriku, dan membedah dadaku lalu mengeluarkan hatiku. Dan kemudian bejana emas penuh dengan iman dibawa kepadaku, dan hatiku dibasuh [di dalamnya] dan dipenuhi [dengannya]; kemudian ia ditempatkan semula ke kedudukan asalnya…” Memandangkan “iman” adalah konsep yang abstrak, jelas bahawa Nabi menanggapi persiapan sebelum Mi‘raj ini – termasuk Mi‘raj, dan perjalanan Malam ke Baitulmaqdis – seluruhnya adalah pengalaman ruhiyyah.

Walaupun tiada hujah kukuh untuk meyakini bahawa Perjalanan Malam ke Baitulmaqdis berlaku dengan “jasad”, namun, tiada alasan untuk meragui kebenaran dan realitinya. Ahli teologi Islam yang terawal, yang tidak difikirkan mereka menguasai ilmu jiwa atau psikologi dengan sempurna, telah memutuskan dua alternatif: sama ada ia berlaku dengan fizikal atau sekadar mimpi. Oleh kerana mereka merasakan – dan benarlah – bahawa peristiwa yang menakjubkan ini akan hilang kehebatannya jika dizahirkan dalam alam mimpi, maka mereka berusaha untuk menginterpretasinya dalam pengertian fizikal dan mempertahankan hujah dan pandangan ini dari semua interpretasi lain, seperti yang telah diutarakan oleh ‘A’isyah atau Al-Hasan al-Basri.

Mutakhir ini, bagaimanapun, kita telah mendapati bahawa pengalaman mimpi bukanlah alternatif khusus kepada perlakuan fizikal. Kajian ilmu psikologi moden, walaupun baru bertunas, telah membuktikan bahawa tidak semua pengalaman rohani (iaitu, pengalaman yang tidak melibatkan sebarang organ manusia) hanya bersifat subjektif dalam menjelmakan pengaruh “minda” – apa jua yang dimaksudkan oleh istilah ini – tetapi ia boleh, dalam situasi tertentu, menjadi suatu realiti atau “fakta sebenar” dalam maksud yang objektif bagi perkataan ini daripada semua pengalaman yang dilalui manusia dengan organ fisiologinya.

Kita mengetahui hanya sedikit tentang kualiti dan keupayaan tertentu dari aktiviti psikologi, lantaran itu sangat mustahil untuk mencapai takrif akhir dan muktamad mengenainya. Bagaimanapun, pemerhatian ahli psikologi moden telah mempastikan kemungkinan – yang telah didakwa dari masa lampau oleh ahli mistik daripada seluruh aliran dan fahaman – tentang “kebebasan” sementara ruh manusia daripada tubuhnya. Dalam keadaan pemisahan sementara ini, ruh atau jiwa dapat bergerak bebas dan merantau melangkaui zaman dan tempat, untuk menyaksikan rangkuman kejadian dan fenomena yang lahir dalam realiti dan dimensi yang luas, yang hanya dapat dicerap oleh persepsi simbolik dengan kefahaman yang mendalam, jelas dan menyeluruh.

Tetapi untuk mengungkap dan menzahirkan “pandangan” yang dialami (sebagaimana kami nyatakan kerana kekurangan lafaz dan istilah yang lebih baik) kepada kalangan yang tidak pernah melalui pengalaman seperti ini, maka individu tersebut - dalam hal ini, Rasulullah – terpaksa memerihalkan dan mengungkapnya secara kiasan; dan ini dapat menjelaskan peranan kata-kata kiasan dalam hadith-hadith yang berkait dengan pandangan mistik daripada Isra’ dan Mi’raj ini.

Dalam hal ini, saya ingin menarik perhatian pembaca kepada perbincangan tentang “pengangkatan ruh” oleh salah seorang Ulama besar Islam, Ibn al-Qayyim (Zad al-Ma‘ad II, 48 f.):

“‘A’ishah menegaskan bahawa Perjalanan Malam (Nabi) berlaku dengan ruhnya (bi-ruhihi), sementara tubuh Baginda tidak meninggalkan tempatnya. Hal yang sama juga dinyatakan dari pandangan yang disampaikan oleh Al-Hasan al-Basri. Namun perlu difahami perbezaan antara pernyataan, ‘Perjalanan Malam berlaku dalam mimpi (manaman)’, dan pernyataan, ‘ia [berlaku] dengan ruh tanpa tubuhnya’. Perbezaan antara dua pernyataan ini sangat penting…apa yang dilihat oleh seorang yang bermimpi hanyalah penghasilan semula (amthal) beberapa bentuk pandangan yang telah terbuku dalam fikirannya, lalu dia bermimpi [sebagai contoh] dirinya diangkat ke langit atau dipindahkan ke Mekah atau ke tempat [lain] di dunia, sementara [pada hakikatnya] ruhnya tidak diangkat atau dipindahkan…

“Riwayat yang disampaikan kepada kami berhubung hal Isra’ dan Mi’rajRasulullah boleh dikelaskan kepada dua kelompok – kumpulan pertama mempertahankan pandangan bahawa pengangkatan berlaku dengan ruh dan jasad, sementara kumpulan kedua menegaskan bahawa ia hanya berlaku dengan ruh, sementara tubuhnya tidak meninggalkan tempatnya. Tetapi pandangan ini [juga] tidak mengertikan bahawa Isra’ dan Mi’raj itu berlaku dengan mimpi: mereka hanya bermaksud bahawa hanya ruhnya sahaja yang melangkah dalam Perjalanan Malam dan diangkat ke langit, dan ruh menyaksikan peristiwa yang [hanya sepatutnya] dapat disaksikan setelah wafat [lit., mufaraqah, “perpisahan”].

Keadaannya dalam situasi tersebut sama dengan keadaan [ruh] selepas mati...tetapi apa yang dialami Rasulullah dalam Perjalanan Malamnya adalah jauh lebih besar dari pengalaman [biasa] yang dilalui ruh selepas mati, dan, tentunya, lebih jauh daripada makna mimpi yang dilihat seseorang dalam tidur…merujuk pada Nabi-Nabi [yang ditemui Rasulullah di langit], ia tidak lain hanyalah ruh mereka yang tinggal di sana selepas berpisah dengan tubuh, sedangkan ruh Rasulullah diangkat ke sana ketika Baginda masih hidup.”

Adalah jelas bahawa pengalaman rohani ini bukan hanya tidak lebih rendah tahapnya, tetapi, sebaliknya, jauh lebih hebat daripada setiap pengalaman yang dilalui dan dicatat oleh anggota tubuh; dan telah jelas tanpa perlu disebut lagi, sebagaimana telah dinyatakan Ibn Qayyim, bahawa ia setanding dengan makna “pengalaman mimpi”, selama pengalaman ini hanya wujud dalam fikiran insan yang bermimpi, sementara pengalaman rohani yang dirujuk di atas tidak kurang “benarnya” (iaitu, objektif) dari yang dilalui “oleh anggota tubuh”.

Dengan menganggap bahawa Isra’ dan Mi’raj ini berlaku dengan ruh dan tidak dengan tubuh, kita tidak menafikan nilai luar biasa yang menyangkut pengalaman kenabian ini. Sebaliknya, telah jelas bahawa pengalaman ini mengatasi keajaiban yang dilalui dalam pengangkatan tubuh, yang memperlihatkan ketinggian syaksiah dan kesempurnaan rohaninya – sesuatu yang kita harapkan daripada seorang pesuruh Tuhan yang sebenar.

Bagaimanapun, adalah mustahil bagi kita manusia biasa untuk dapat memahami secara sempurna pengalaman ruhaniyah sedemikian. Minda kita hanya dapat bekerja bersandarkan elemen daripada kesedaran kita tentang masa dan tempat; dan setiap yang melangkaui batasan dan ruang lingkup ini akan selalu menghalang percubaan kita untuk mencapai maksudnya yang sebenar.

Sebagai kesimpulan, harus diperhatikan bahawa Perjalanan Malam Rasulullah dari Mekah ke Baitulmaqdis, berlaku sebaik sebelum Pengangkatannya, membuktikan bahawa Islam bukanlah suatu kepercayaan baru tetapi merupakan tradisi yang berkesinambungan dari risalah suci yang sama yang disampaikan oleh Nabi-Nabi terdahulu, yang menempati Baitulmaqdis sebagai kediaman rohani mereka. Pandangan ini diperkukuh oleh hadith (dipetik dalam Fath al-Bari VII, 158), yang mana Nabi, dalam Perjalanan Malamnya, telah menunaikan solat di Yathrib, Sinai, Bethlehem, dan lain-lainnya. Pertemuan Baginda dengan Nabi-Nabi yang lain, yang disebut dalam peristiwa ini, menyerlahkan idea yang sama. Hadith yang masyhur daripada babak penting Perjalanan Malam ini di mana Nabi telah memimpin jemaah solat dalam sebuah kuil suci di Baitulmaqdis, yang mana semua para Nabi berdiri membentuk saf di belakang Baginda, menunjukkan secara figuratifnya tentang kepercayaan bahawa Islam, sebagaimana disampaikan oleh Nabi Muhammad, adalah pelengkap dan penyempurna kepada tradisi agama manusia, dan Nabi Muhammad adalah Rasul pembawa risalah Allah yang terakhir dan teragung.

Sumber Rujukan:

Muhammad Asad; The Message of the Qur’an

Muhammad Asad: Sahih al-Bukhari – The Early Years of Islam


2 ulasan:

  1. Saya setuju bilamana dikatakan peristiwa israk dan mikraj ini berlaku dalam keadaan ruh, dan jasad baginda berada diMekah. Ia tidak sedikitpun memberi impak negatif atau melemahkan peristiwa yang sangat besar ini. Saya memegang hujah bahawa Allah SWT mengatur alam ini dengan hukumnya, dan semua (alam) mematuhi hukum Allah dengan taat sehingga ajal mereka. Hukum yang kita namakan sebagai ilmu fizik. Allah mendidik kita kepada keteraturan dan kepada logik, Allah tidak mencipta secara serentak atau tiba-tiba, tetapi teratur. Dunia dan langit dijadikan dalam masa 6 hari, bumi dalam masa 2 hari (hari diakhirat). Atas santun dan keteraturan alam yang Allah mahu didik kita ini, jika Nabi Muhammad menuju ke Sidratul-Muntaha melalu pintu langit yang dibuka secara fizikal, apabila sudah sehari disana; tentunya bila baginda pulang ke bumi, sudah bermilion tahun berlalu. Namun kecepatan ruh yang sangat halus, menjadikan masa bergerak sama dengan masa diakhirat.

    BalasPadam
  2. Hanya satu mampu saya katakan..Allah Maha Besar..

    BalasPadam

JANGAN JADI BACUL DENGAN TAK MELETAKKAN NAMA SENDIRI ATAU SAMARAN KETIKA HENDAK MENINGGALKAN KOMEN DI BLOG INI..ORANG YANG BERSELINDUNG DENGAN TANPA NAMA ORANG YANG TIDAK BERANI MEREMPUH KEBENARAN. JADI BLOG INI AKAN MENYIARKAN KOMEN - KOMEN ORANG YANG BERDAFTAR SAHAJA.