Hari ini rata - rata yang baru memulakan hidup di Malaysia kebanyakkannya generasi yang lahir pada tahun 1980an. Dari yang berumur 29 - 22 tahun sudah mula bekerja di sektor awam mahupun swasta. aku tergolong dalam kelompok ini. Umur aku baru mencecah 25 tahun. Jika diadakan sambutan ulang tahun, aku baru masuk kategori sambutan jubli perak.
Aku lahir dalam kelompok masyarakat bawahan. Walaupun Allahyarham ayah aku merupakan antara orang - orang besar di sebuah syarikat swasta, namun Allahyarham tidak pernah mengajar aku dengan kemewahan yang melampau kerana dia mahu aku mengenal erti kesusahan. Aku sedar, keluarga kami dulu pernah menetap rumah setinggan di Pantai Dalam. Semuanya kerana kegilaan ekonomi kapitalis yang menyerang seluruh dunia yang menyebabkan ayah aku dibuang kerja pada tahun 1987.
Aku bersyukur apabila diajar untuk mengenal erti kesusahan kerana dengan cara macam itu, aku boleh mengenal siapa sebenarnya rakyat Malaysia. Dari rumah setinggan hingga ke rumah banglo. Ramai kawan - kawan aku berasal dari kelompok sedemikian rupa. Pelbagai jenis kelakuan yang dapat aku saksikan. Aku pernah bermain dengan anak - anak setinggan di Pantai Dalam. Aku pernah singgah bermain video game di rumah anak orang kaya di Bukit Bangsar ketika aku masih kecil dulu.
Apabila aku meningkat remaja, aku mula bergaul dengan kawan - kawan yang tinggal di dalam kawasan bandar yang sedang pesat membangun. Aku bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Pandan Indah. Kawasan baru. Berjiran dengan kawasan - kawasan kampung di situ. Kampung Cheras Baru antaranya. Perbezaan kelas dapat dilihat ketika itu. Kawan sekolah yang datang dari kawasan tersebut kebanyakkannya cukup meminati MAT MOTOR (dulu pada tahun 1996 - 1999 jarang orang sebut Mat Rempit). Kawan yang datang dari rumah teres, meminati kumpulan - kumpulan rock seperti Nirvana, Metallica manakala yang berangan nak jadi lebih cool akan meminati kumpulan atau artis solo muzik HIPHOP. Antaranya Tupac Amaru Shakur (2Pac), Snoop Dogg, Dr.Dre, NWA, Wu-Tang Clan, Kriss Kross, Dogg Pound, Eminem, Jay-Z, The Notorious B.I.G dan sebagainya.
Pertembungan kelas ini cukup ketara, aku yang menjadi budak skema habis di sekolah dulu, selalu dapat tengok, budak motor hina budak hiphop sebab seluar londeh. Hinaan ini kadang - kala boleh menyebabkan pergaduhan sesama mereka. Pergaduhan yang melibat kumpulan masing - masing. Sebagai budak skema habis, tergelak pun ada, seram pun ada, menyampah pun ada. Sampai aku tertanya dalam kepala otak aku ini, apa la yang seronok sangat mempertahankan ideologi identiti macam ini sampai nak bergaduh sakan.
Namun jangan terperanjat, dengan tindakan pantas Pengetua Sekolah ketika itu, budaya gangsterisme di sekolah pada waktu aku sempat dibendung. Mereka yang pernah bergaduh sesama sendiri telah menjadi sahabat baik ketika itu. Antara kata - kata Pengetua Sekolah iaitu Cikgu Zakiah aku waktu itu cakap, "Lantak kat hangpa la, hiphop ka, mat mot (mat motor) ka, ingat kita ini satu sekolah. Ketepikan perbezaan bodoh macam ini, kita harus pertahankan maruah sekolah." Haaaaaaaa, yang ini PAS dan DAP kena belajar dari aku dan rakan - rakan. Perbezaan harus diketepikan, yang penting tumbangkan BN dulu.
bersambung.............
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
JANGAN JADI BACUL DENGAN TAK MELETAKKAN NAMA SENDIRI ATAU SAMARAN KETIKA HENDAK MENINGGALKAN KOMEN DI BLOG INI..ORANG YANG BERSELINDUNG DENGAN TANPA NAMA ORANG YANG TIDAK BERANI MEREMPUH KEBENARAN. JADI BLOG INI AKAN MENYIARKAN KOMEN - KOMEN ORANG YANG BERDAFTAR SAHAJA.